fb fb fb fb fb

Ketidaktentuan global: Kerajaan pandang serius cabaran dihadapi komuniti desa

Foto BERNAMA / Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 6 Mei- Kerajaan memandang serius cabaran yang dihadapi komuniti desa susulan ketidaktentuan perdagangan global, khususnya melibatkan sektor-sektor yang menjadi sandaran ekonomi luar bandar seperti elektrik dan elektronik (E&E), kelapa sawit, getah dan pertanian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ramai penduduk luar bandar secara tidak langsung bergantung kepada sektor tersebut dengan Amerika Syarikat (AS) merupakan antara pasaran utama negara.

“Saya yakin usaha kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada rundingan pengurangan tarif, malah turut mempergiat penerokaan pasaran baharu di ASEAN, Asia Barat, Mesir, Pakistan dan Kemboja” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyambut baik langkah proaktif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengumuman penubuhan National Geo-Economic Coordination Centre (NGCC) sebagai pusat penyelaras nasional dalam menangani kesan pengenaan tarif balas oleh AS ke atas Malaysia.

Beliau turut mengalu-alukan pengumuman peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf sempadan Sabah dan Sarawak–Kalimantan dan kenaikan had sebut harga projek kepada RM3 juta yang dijangka mempercepat pelaksanaan projek sekolah, klinik, jalan dan tebatan banjir luar bandar serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada kontraktor kecil dan pekerja desa.

Inisiatif itu jelas memperlihatkan komitmen kerajaan dalam mempertahankan kepentingan negara dan memastikan daya saing Malaysia kekal kukuh di peringkat global.

Mengulas industri halal negara, Malaysia kekal diyakini menerajui industri halal dunia dengan nilai eksport mencecah RM61.79 bilion pada 2024, meningkat 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ia sekali gus mengekalkan kedudukan nombor satu dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut.

Namun, dasar tarif dan kelembapan ekonomi dunia dijangka menjejaskan permintaan terhadap produk eksport termasuk barangan halal, sekali gus memberi tekanan kepada pemain industri tempatan.

"Usaha mempergiat padanan perniagaan dan penyertaan dalam ekspo antarabangsa di pasaran baharu seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Asia Selatan akan memangkin pertumbuhan eksport serta membuka peluang baharu kepada usahawan tempatan.

"Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Development Corporation (HDC) akan memastikan usahawan halal luar bandar terus menembusi pasaran global.

"Insya-Allah, RM50 juta telah diperuntukkan kepada MATRADE untuk mempercepat usaha ini,” katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM