ALOR SETAR, 6 Mei - Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) ditutup sementara berikutan insiden sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tergelincir petang tadi.
Malaysia Airports dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan landasan tersebut bagi membolehkan kerja pemindahan pesawat berkenaan dan pembersihan landasan dijalankan.
Penutupan tersebut dijangka berlanjutan hingga pukul 10.30 malam ini.
Sepanjang tempoh berkenaan, semua operasi penerbangan di LTSAH akan terjejas.
Semua penumpang, termasuk jemaah yang dalam perjalanan untuk menunaikan ibadah haji dinasihatkan merujuk kepada syarikat penerbangan atau Lembaga Tabung Haji.
Pihak lapangan terbang akan mengeluarkan maklumat terkini sebaik sahaja landasan disahkan selamat dan dibuka semula untuk operasi penerbangan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.