fb fb fb fb fb

Projek ECRL capai kemajuan 82 peratus

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Mei- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, telah mencapai kemajuan keseluruhan 82.45 peratus sehingga April tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerja-kerja pemasangan landasan yang merupakan komponen utama bagi Projek ECRL, telah berjaya disempurnakan sepanjang 400 kilometer meliputi landasan jajaran utama dari Maran, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan.

“Ia telah siap dua bulan setengah lebih awal daripada jadual dan kita ucapkan tahniah kepada ECRL dan CCCC (China Communications Construction Company Ltd), kerana tadi Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) tanya saya adakah projek ini ikut jadual, saya katakan bukan ikut jadual malah lebih awal daripada jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi Fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL, yang turut dihadiri Perdana Menteri.

Loke berkata pemasangan landasan sepanjang 100 kilometer dari Maran menghala ke Bentong akan bermula pada bulan ini dan dijangka siap pada akhir bulan Jun 2025.

Loke berkata selain itu kerja-kerja pembinaan sistem elektrifikasi juga telah mula dilaksanakan sejak Mei 2024 dan akan disusuli dengan pemasangan sistem semboyan, telekomunikasi dan informasi bagi pengoperasian ECRL.

Dalam pada itu Loke berkata Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) O&M, telah menerima komitmen tajaan sebanyak RM12 juta daripada syarikat CCCC, bagi menampung kos pelaksanaan program.

Beliau berkata program itu, menyasarkan untuk memberi manfaat latihan dan peluang pekerjaan kepada seramai 3,200 pelatih secara keseluruhan bagi fasa O&M.

“Sebagai permulaan, pada tahun ini, seramai 210 pelatih dari Malaysia, yang datang daripada pelbagai latar belakang akan dihantar ke Liuzhou, China bagi menjalani latihan intensif selama setahun.

“Kumpulan pertama terdiri daripada 102 orang, dijadualkan akan berlepas ke China secara berperingkat bermula pada 15 Mei ini bagi memulakan latihan,” katanya.

Loke berkata pelatih yang terdiri daripada bidang teknikal dan bukan teknikal itu, akan mengikuti latihan komprehensif merangkumi teori, amali serta pengalaman sebenar dalam operasi sistem rel.

Beliau berkata latihan itu, bertujuan melahirkan tenaga kerja mahir untuk jawatan seperti Pembantu Atendan Stesen, Juruteknik Pengisyaratan, Pembantu Pemandu Keretapi, Jurutektik Talian Atas, Juruteknik Penyenggaraan E-Loco & Electric Multiple Unit (EMU).

“Lebih menggembirakan, para pelatih dalam program ini dijamin peluang pekerjaan bersama ECRL sebaik sahaja tamat latihan,” katanya.

Loke turut mengumumkan syarikat operasi ECRL yang melibatkan Rail Link Sdn Bhd (MRL), selaku pemilik Projek ECRL dan syarikat CCCC telah secara rasmi ditubuhkan dan didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebagai ECRL Operation Sdn Bhd.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM