fb fb fb fb fb

Keterjaminan makanan, Felcra diminta sediakan pelan Transformasi 3.0 - TPM Zahid

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 19 Januari - Felcra Berhad (FELCRA) diseru untuk merancang dan menyediakan pelan Transformasi 3.0 bagi membantu kerajaan menangani isu keselamatan dan keterjaminan makanan serta mengurangkan import bahan makanan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia berikutan kejayaan agensi terbabit melalui pelaksanaan transformasi sebelum ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa berkata peranan FELCRA perlu diperluas bukan sekadar membantu masyarakat luar bandar menjana pendapatan melalui penyertaan aktiviti ekonomi malah membantu kerajaan memastikan kelangsungan bekalan makanan.

(Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) pada sidang media selepas menghadiri Taklimat
FELCRA Berhad / FOTO BERNAMA)

"FELCRA mempunyai keluasan tanah sebanyak 200,000 hektar mencakupi pelbagai bidang aktiviti agro ekonomi maka fokus keterjaminan makanan ini sudah dikenalpasti untuk menjadikan fokus baharu.

"Apa yang telah dilakukan selama ini telah memberikan penghasilan yang baik namun keberhasilan ini mesti ditambah. Umpamanya memberikan tumpuan kepada pengeluaran hasil makanan utama atau pengeluaran binatang ternakan untuk memberikan nilai tambah kepada bekalan daging atau makanan berprotein," katanya dalam sidang media selepas majlis taklimat FELCRA bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, di sini.

Sebelum ini, FELCRA mempunyai dua pelan transformasi di mana Transformasi 1.0 dilaksana bagi memperkukuhkan penstrukturan semula organisasi dan perjawatan pengurusan kewangan agensi itu supaya lebih selari dengan keperluan serta perkembangan semasa.

Kini pengurusan FELCRA sedang dalam fasa melaksanakan Transformasi 2.0 membabitkan penggemblengan aktiviti komersial ke arah pengembangan perniagaan dan budaya kerja berwibawa.

Media Baharu