KUALA LUMPUR, 29 Jun- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar seluruh rakyat Malaysia mengetepikan ego, kepentingan kaum kerabat dan keluarga demi kekuatan negara tanpa mengira bangsa, terutama dalam mereka yang lemah dan terpinggir.
Beliau berkata berkata tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun, umat Islam seluruh dunia melaksanakan ibadah korban sempena memperingati pengorbanan suci Nabi Ibrahim dan keluarga baginda.
"Meski serba kekurangan di tanah serba gersang dalam daerah yang sepi tidak berpenghuni, namun hakikatnya tetap subur dibasahi keimanan dan kasih sayang serta keikhlasan jiwa menurut perintah yang Maha Esa", katanya dalam perutusan Aidiladha yang disiarkan menerusi facebook.
(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA)
Pengorbanan tersebut yang menjadi asas kepada sebuah perjuangan suci mengembalikan maruah umat dan menjamin keadilan buat semua.
"Justeru, ibrah itu menjadi asas keyakinan kita dalam mengemban amanah dan menunaikan cita-cita para pewaris bangsa. Ini tekad dan sumpah kita.
"Bersama kita satukan kekuatan, mara demi sebuah negara yang maju, sejahtera dan ihsan terhadap rakyatnya", katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mendoakan rakyat Malaysia yang menunaikan haji di tanah suci agar beroleh haji yang mabrur serta selamat pulang ke tanah air.