fb fb fb fb fb

Kestabilan politik bolehkan kerajaan tumpu usaha pulih kembali ekonomi negara - PM

(Ismail Sabri berucap pada Majlis Makan Malam Keluarga Malaysia Emiriah Arab Bersatu, UAE)

DUBAI, 31 Mac - Kestabilan politik di Malaysia membolehkan kerajaan menumpukan usaha memulihkan kembali ekonomi negara terutama dalam menarik pelaburan baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kestabilan tersebut penting untuk ekonomi negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang antara 5.5 hingga 6.5% pada 2022 berbanding dengan penguncupan sebanyak 5.6% pada 2020.

Jelas beliau, pelaburan langsung asing (FDI) juga semakin meningkat daripada RM14.6 bilion pada 2020 kepada lebih RM50 bilion pada 2021 selain pengangguran juga berjaya dikurangkan.

"Pada tahun 2021, kita sasarkan peluang pekerjaan sebanyak 500,000 dan dapat memberikan pekerjaan kepada rakyat sebanyak 580,000. Sasaran untuk 2022 ialah 600,000 pekerjaan, jadi kita berada di landasan yang betul dan sebab itulah apabila keadaan politik stabil kita dah boleh keluar untuk mencari pelaburan yang baharu," katanya.

Beliau berucap demikian semasa Majlis Makan Malam Keluarga Malaysia Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama Perdana Menteri, di sini pada Rabu.

Ismail Sabri juga berkata banyak syarikat telah menandatangani memorandum kerjasama di Ekspo 2020 Dubai yang berlangsung selama enam bulan bermula 1 Oktober 2021 hingga hari ini.

"Kita menjangka pelaburan dan juga perdagangan melalui Eskpo Dubai ini berjumlah RM70 bilion, jadi ini juga merupakan satu perkembangan yang menggalakkan untuk meningkatkan ekonomi kita dan bukan setakat meningkatkan ekonomi tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada rakyat kita," jelas beliau.

Dalam pada itu, Keluarga Malaysia yang bekerja di UAE yakin dengan usaha kerajaan untuk memulihkan kembali ekonomi negara.

"Sebagai rakyat yang berada disini kita berasa bangga kerana Perdana Menteri mengambil kesempatan untuk berjumpa kita disini dan ucapan beliau mengatakan bahawa keadaan kerajaan semakin stabil kerana kestabilan negara itu amat penting untuk kita menjalankan semula ekonomi terutama selepas COVID-19 ini," kata Fahmy Ansara Dahalan.

(Fahmy Ansara Dahalan)

"Kita tahu ekspo 2020 yang memang sebelun ini semasa pandemik tetapi sekarang telah dibuka adalah antara satu-satunya acara yang terkemuka di dunia jadi apabila Perdana Menteri telah sampai kesini ia membuka peluang kepada lebih ramai masyarakat Malaysia dengan tagline Keluarga Malaysia untuk sama-sama merealisasikan, membangunkan Malaysia yang telah terkesan dalam dua tahun ini," menurut Udesh Chaskar.

(Udesh Chaskar)

Media Baharu