fb fb fb fb fb

Kesedaran masyarakat orang asli terhadap pendidikan memberangsangkan

PUTRAJAYA, 21 Julai- Tahap kesedaran masyarakat orang asli terhadap kepentingan pendidikan semakin memberangsangkan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ramlan Harun.

Ini berdasarkan peningkatan jumlah pelajar orang asli yang sedang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam pelbagai jurusan iaitu seramai 751 orang, setakat ini.

Tahun lalu sahaja, tujuh orang pelajar orang asli berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara, menerusi program Ijazah Luar Negara (ILN) yang dilaksanakan bermula tahun 2010.

Ia daripada jumlah keseluruhan 93 orang pelajar yang kini sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi di United Kingdom, Rusia, Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan Korea.

"Kerajaan menyediakan pelbagai platform selain yang memasuki ke IPT di arus perdana ini.

"Kita juga menyediakan aliran TVET pengurusan vokasional dan di bawah kementerian sendiri, kita ada lebih 260 institusi TVET yang menyediakan pelbagai program.

"Mereka juga berpeluang selepas ini untuk ke peringkat pengajian yang lebih tinggi, sampai ke peringkat PHD sekalipun," katanya.

(Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ramlan Harun)

Beliau bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan anugerah kepada 123 pelajar orang asli pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) SPM dan STPM tahun 2022, di sini hari ini.

86 orang daripadanya mendapat keputusan 5A ke atas dalam SPM, manakala 37 murid masing-masing cemerlang dengan PNGK 2.80 ke atas.

Sementara itu, sebagai inspirasi kepada masyarakat orang asli, dua pelajar iaitu Mazwin Faulin a/p Mohd Azlin, dinobat pelajar cemerlang STPM dengan PNGK: 3.84.

Manakala Nurul Atiqah Ithnani Idrus dinobat pelajar cemerlang SPM, selepas memperoleh 10A.

"Saya hendak menjadi contoh kepada adik-adik dan ingin mengubah kehidupan kedua ibu bapa, juga kehidupan saya sendiri," kata Mazwin Faulin.

(Mazwin Faulin)

"Ini membuktikan orang asli boleh berjaya dan kami juga sudah maju ke depan sama seperti orang yang lain," menurut Nurul Atiqah Ithnani.

(Nurul Atiqah Ithnani)

Media Baharu