fb fb fb fb fb

Kesalahan memandu tanpa lesen di Negeri Sembilan meningkat


SEREMBAN, 4 Februari - "Tiada masa untuk mengambil ujian lesen memandu" antara alasan tidak munasabah yang diberi kebanyakan individu ketika ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, kerana memandu tanpa lesen.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata, berdasarkan statistik tahun lalu sebanyak 12,728 kes bagi kesalahan itu telah direkodkan. Meningkat sebanyak 3,509 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 9,219 kes.

Kesalahan tersebut banyak dilakukan oleh penunggang motosikal yang berusia 16 hingga 20 tahun.

"Kita perlu memastikan bahawa pemandu-pemandu yang menggunakan jalan raya yang layak untuk menggunakan kenderaan apabila mereka memandu. Kita tidak mahu nanti apabila pemandu tidak kompeten ia tidak sahaja membahayakan pemandu tersebut tapi boleh membahayakan penggun jalan raya yang lain'' kata Hanif di sini.

Bagi kesalahan tiada lesen memandu, individu boleh dikenakan kompaun maksimum RM300 dan kenderaan boleh disita dibawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi pesalah bawah umur ibu bapa atau pemilik kenderaan juga boleh dikenakan tindakan saman.

Sehubungan itu beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak sewenang-sewenangnya membiarkan anak-anak menunggang motosikal tanpa lesen.

Sepanjang Op Tahun Baharu Cina 2022 yang bermula 25 Januari lalu hingga Rabu, sebanyak 253 kesalahan tiada lesen memandu direkodkan di Negeri Sembilan.

 

Media Baharu