KUALA LUMPUR, 4 Februari - Syarikat pengendali umrah berharap, prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi ibadah umrah dapat dimuktamad dan diumumkan segera.
Ini bagi memberi tempoh yang mencukupi kepada pengendali dan bakal jemaah membuat persiapan sebelum dibenarkan berlepas ke Tanah Suci yang dijadual bermula 8 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, TH Travel and Services Sdn. Bhd. Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata ini termasuk persiapan penyediaan penerbangan, bilik penginapan, pengangkutan dan permohonan visa.
"Kita nak juga masa, masa berangkat sekurang-kurangnya 5 hari. Jadi sekarang kami sasarkan yang lebih realistik bagi syarikat kami, adalah 15 Februari, maknanya lebih kurang 40 orang kita akan tawarkan dia 15 haribulan. Orang tidak sabar hendak pergi, seolah-olah secepat mungkin, seberapa segera", jelasnya.
Beliau turut mencadangkan agar kementerian terlibat membuat penilaian secara berkala terhadap SOP perjalanan umrah, memandangkan kerajaan Arab Saudi sentiasa mengemaskini peraturan ibadah berkenaan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri sebelum ini memaklumkan, Kabinet membuat keputusan membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.
Tiga SOP baharu turut digariskan termasuk memastikan jemaah lengkap vaksinasi dan wajib mengambil dos penggalak, selain dilindungi insurans perlindungan kesihatan.