fb fb fb fb fb

Kes tembak di Melaka: Polis serah laporan kepada Peguam Negara hari ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Polis akan mengemukakan laporan kes tiga lelaki ditembak mati di Melaka bulan lalu kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima jaminan daripada Ketua Polis negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, siasatan dilakukan dengan rapi dan telus.

''Tiada tolak ansur dan laporan telah mereka kemukakan kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut.

"Tetapi kita kena bezakan di antara keterlanjuran polis yang tidak boleh kita abaikan dengan tindakan penjenayah-penjenayah tegar," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri menolak persepsi bahawa kematian dalam tahanan sejak 2024 didominasi oleh kaum tertentu, sambil menegaskan fakta menunjukkan gambaran sebaliknya.

Beliau berkata, sejak Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) ditubuhkan pada 2024, sebanyak 57 kes kematian dalam tahanan direkodkan melibatkan pelbagai latar belakang kaum.

"Faktanya, kematian dalam tahanan sejak IPCC ditubuhkan 2024 jumlah 57. Melayu 25, India 4, Cina 9, warga asing 15, Bumiputera Sabah dan Sarawak 4," katanya.

Pada 24 November lalu, tiga penjenayah berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka menyerang anggota polis menggunakan parang di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN