KUALA LUMPUR, 16 Disember - Kerajaan menggunakan pendekatan ‘serampang dua mata’ dalam menangani peningkatan kos sara hidup melalui pemberian bantuan tunai secara langsung serta meningkatkan pendapatan boleh guna.
Timbalan Menteri Kewangan (MOF), Lim Hui Ying berkata bagi tujuan tersebut, kerajaan memperkukuh subsidi dan bantuan bersasar dengan memperuntukkan RM15 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) termasuk RM2 bilion penghargaan SARA secara sekali beri.
“Peruntukan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditingkatkan kepada RM3.1 bilion.
“Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM798 juta disediakan tanpa mengira golongan penerima bagi keperluan asas persekolahan anak-anak”, katanya di Dewan Negara.
Dalam usaha mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan tanpa membebankan rakyat, penyasaran subsidi telah dilaksanakan sejak 2023 bagi memastikan subsidi dinikmati golongan benar-benar layak sekali gus mengurangkan ketirisan akibat penyeludupan.
Hasil penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif elektrik, 85 peratus rakyat masih kekal menikmati subsidi elektrik.
Kerajaan turut meluluskan penggunaan ‘fleet card’ kepada syarikat yang layak bagi membolehkan kenderaan terlibat terus memperoleh bekalan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.
Selain itu, bantuan tunai RM200 sebulan diberikan kepada seramai 320,000 pemilik kenderaan persendirian diesel, petani, penternak dan pekebul kecil dengan keseluruhan kos RM850 juta.
Kerajaan turut memperluaskan kelayakan BUDI MADANI 95 kepada nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), pemilik bot persendirian di Sabah dan Sarawak serta pemandu e-hailing dan teksi lapangan terbang.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin berhubung rancangan kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar.