fb fb fb fb fb

Kalendar akademik Januari-Disember bermula 2026

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Kitaran kalendar akademik persekolahan akan di kembalikan semula kepada Januari hingga Disember mulai sesi persekolahan 2026, seperti yang dilaksanakan sebelum pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia bukan satu proses mudah kerana memerlukan penelitian rapi bagi memastikan perubahan itu tidak menjejaskan operasi institusi pendidikan.

“Kementerian Pendidikan melaksanakan penyusunan semula kalendar akademik ini secara terancang dan berfasa sejak sesi 2023/2024, dengan memastikan bilangan minimum 190 hari persekolahan seperti yang ditetapkan dalam Akta Pendidikan dan Peraturan-Peraturan Pendidikan terus dipatuhi,” katanya.

Beliau menjelaskan, penyesuaian itu turut melibatkan penyelarasan jadual pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan utama termasuk SPM, STPM dan STAM, serta pengurusan cuti sekolah supaya operasi persekolahan berjalan lancar.

Selain itu, Kementerian Pendidikan turut mengadakan sesi libat urus secara menyeluruh bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pihak sekolah serta semua pihak berkepentingan termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Sarawak Teachers Union dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas.

Wong menegaskan, kementerian yakin keputusan tersebut akan memberi manfaat optimum kepada murid, guru dan keseluruhan ekosistem pendidikan negara, selain terbuka menerima maklum balas berterusan daripada semua pihak.

Beliau berkata dengan perancangan rapi, konsultasi berterusan dan kerjasama semua pihak, pelaksanaan kalendar akademik baharu itu diyakini dapat berjalan lancar serta menjadi langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE