fb fb fb fb fb

Kes Sulu: Malaysia peroleh kemenangan penting di Mahkamah Rayuan The Hague

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Kerajaan Malaysia mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague yang telah memihak kepada negara ini dengan menolak untuk mengiktiraf Final Award yang dikeluarkan melalui proses timbang tara yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris kepada kumpulan Sulu.

Menerusi kenyataan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan ini sekali gus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Kerajaan Malaysia di Belanda.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Rayuan The Hague ini merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.

"Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini, kerajaan semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya Final Award yang tidak sah dan disalahgunakan oleh Pihak yang Menuntut yang berjumlah hampir USD15 bilion yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa dan sekali gus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah.

"Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada hari ini, bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia Pihak yang Menuntut untuk menguatkuasakan Final Award di negara-negara lain",menurut kenyataan itu.


(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Perdana Menteri berkata sehingga kini, Kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan negara.

"Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha melalui apa-apa jua cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi mendapatkan kembali segala kos perundangan dari sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan ini.

"Kerajaan Malaysia yakin bahawa ia dapat menegakkan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia.

"Kes Sulu ini membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia MADANI", katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Sekretariat Khas yang juga Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Dato' Sri Azalina Othman, Menteri Luar Negeri Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Selain itu, penghargaan turut diberi kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan semua Kementerian dan agensi berkaitan, termasuk peguam antarabangsa dan semua pihak yang terlibat dalam usaha tersebut.

Media Baharu