KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Status representasi pelakon, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad bagi menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan tahun lalu ditetapkan 17 November ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan Mahkamah Majistret sini menetapkan hari ini untuk keputusan representasi tersebut pada prosiding terdahulu.
Keputusan itu dibuat di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim.
Namun, kertas siasatan kes tersebut masih di Jabatan Peguam Negara (AGC), selain representasi yang difailkan pihak pembelaan masih di peringkat pertimbangan.
Pihak pendakwaan memohon tarikh keputusan dilanjutkan.
Peguam Sharnaaz, Mohamed Baharuden Mohamed Ariff tidak membantah perkara tersebut.
Pada 2 Mei lalu, Sharnaaz mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan seorang pengawal keselamatan.
Antara kandungan representasi itu supaya pertuduhan digugurkan atau memohon satu bon untuk anak guam jika dibenarkan.
Pelakon itu didakwa sengaja mencederakan Izzul Islam Awang di sebuah kondominum pada 16 Jun 2022.
Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pelakon Sharnaaz Ahmad didakwa cederakan pengawal keselamatan