KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis (DKPP) 2023 Sesi Pertama di Istana Negara.
Istiadat pada hari ini menyaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mendahului senarai 309 penerima pingat, dengan dikurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Pertama Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP).
Enam individu lain turut dikurniakan pingat sama termasuklah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim.
Selain itu, Pesuruhjaya Polis Brunei, Datuk Paduka Seri Mohammad Irwan Hambali dan Ketua Polis Thailand, Torsak Sukvimol.
Selain itu, 58 individu dikurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Kedua Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) dan 88 individu menerima Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga Pahlawan Pasukan Polis (PPP).
Seramai 17 individu menerima Darjah Kebesaran Pangkat Keempat Kesatria Pasukan Polis (KPP) dan 138 penerima Darjah Kebesaran Pangkat Kelima Bentara Pasukan Polis (BPP).
Istiadat turut menyaksikan seorang penerima tunggal bagi Pingat Keberanian Polis (PKP) iaitu ACP Saufi Anuar Abdullah.
Beliau dikurniakan pingat tersebut atas keberaniannya bertempur dalam siri tembakan sengit yang berlaku hampir sejam ketika diserang semasa menyertai Misi Pengaman United Nation Mission In Darfur (UNAMID), Sudan pada 8 Julai 2008.
Pada hari sama, beliau diserang sekali lagi dan bertembung dengan sebuah kenderaan Land Rover pemberontak yang lengkap bersenjata berat.
Beliau dengan berani telah menghadapi pemberontak itu dan berjaya menyelamatkan seorang jurubahasa Sudan.