TEMERLOH, 31 Oktober- Seramai 198 penerima menerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-64 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Tun Razak, Temerloh.
Istiadat penganugerahan disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-64 Sultan Pahang itu turut menyaksikan keberangkatan anakanda baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan negeri Pahang serta ketua-ketua jabatan.
Pada istiadat itu, 14 penerima dikurniakan darjah kebesaran Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), 34 individu menerima darjah kebesaran Setia Mahkota Pahang (SMP) dan 35 penerima darjah kebesaran Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP).
Selain itu, seramai 38 individu pula dikurniakan Ahli Mahkota Pahang (AMP) dan 27 individu menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), 32 Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) serta 18 individu dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).