fb fb fb fb fb

Tamat subsidi dan kawal harga ayam langkah tepat- Izham

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim pada Majlis Anugerah Ikon Agro Selangor 2022 di Shah Alam/FOTO RTM

SHAH ALAM, 31 Oktober-Langkah kerajaan menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam yang berkuatkuasa esok (1 November) dilihat sebagai langkah tepat dan proaktif.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim menyifatkan langkah berkenaan dapat memastikan sebarang bentuk subsidi sampai kepada golongan sasar.

“Saya dari dahulu berpandangan kalau kita nak buat subsidi bersasar, kita kena apungkan semua barangan termasuk beras dan telur ayam.

“Barang-barang itu kita apungkan harganya, kemudian mereka berkelayakan kita bagi balik (subsidi) dalam bentuk kupon atau sebagainya. Dengan cara itu orang layak akan dapat subsidi,” katanya pada pemberita di Majlis Anugerah Ikon Agro Selangor 2022 di sini, pada Isnin.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan bersetuju subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuat kuasa Rabu ini (1 Nov), selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan.

Dalam pada itu, Izham berkata harga ayam di bawah program Jualan Ehsan Rahmah (JER) masih dikekalkan dengan RM10 untuk satu ekor dan jelasnya untuk tahun hadapan, pihaknya menyasarkan untuk menambah barangan basah lain seperti sayuran dan buah-buahan.

Ketika ini, program bawah kerajaan Selangor itu memfokuskan kepada jualan sumber protein seperti ayam, ikan, daging, telur, beras dan minyak masak, pada harga lebih rendah daripada pasaran di kesemua DUN seluruh negeri.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD