KUALA LUMPUR, 31 Oktober - Seramai 1,202 peserta menerima bantuan bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP), setakat tahun ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, program tersebut berupaya meningkatkan taraf sosioekonomi khususnya terhadap kumpulan sasar iaitu golongan B40, miskin dan miskin tegar.
Bagi sasaran meningkatkan pendapatan semasa peserta program, sebanyak RM12 juta telah diperuntuk.
"Berdasarkan kajian impak yang telah dilaksanakan pada tahun 2021 daripada bahagian kajian kesejahteraan rakyat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi tempoh pelaksanaan RMK11 mendapati pencapaian prestasi pelaksanaan program PPP, adalah baik kerana mencapai tahap 89%, peserta PPP yang telah berjaya mendapat pendapatan isi rumah sebanyak 30% dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas menerima bantuan projek peningkatan pendapatan.
"Kementerian melalui agensi-agensi bawah KKDW akan memberikan khidmat bimbingan dan memantau pelaksanaan aktiviti peserta sekurang kurangnya antara enam hingga satu tahun," kata Rubiah, menjawab pertanyaan yang dikemukan wakil Jerai, Sabri Azit di Parlimen.
Dalam usaha mendokong agenda keterjaminan makanan negara, KKDW mengambil pendekatan memberi bantuan serta inisiatif menerusi bidang berpotensi pasaran tinggi terutama sektor pertanian dan penternakan.
Manakala pendekatan mentor-mentee dipergiat dengan melaksanakan kerjasama secara berterusan dengan usahawan yang telah berjaya sebagai pembimbing kepada peserta PPP.