fb fb fb fb fb

Kes penipuan haji: Tindakan tegas terhadap individu, syarikat terlibat

Gambar hiasan. Ihsan Facebook Tabung Haji.

KUALA LUMPUR, 7 Jun - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang terbabit dalam penipuan pakej Haji.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menerusi satu kenyataan menegaskan, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan seperti Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta semua Majlis Agama Islam Negeri bagi membanteras jenayah ini secara menyeluruh.

Beliau turut menyokong sepenuhnya titah baginda yang telah menzahirkan kemurkaan serta kebimbangan terhadap peningkatan kes, khususnya bagi mangsa yang terkandas kerana menggunakan visa pelancong untuk menjalani ibadah suci itu.

Tegas Datuk Dr Mohd Na'im lagi, perbuatan menipu atas nama agama dan ibadah haji adalah satu jenayah besar bukan sahaja dari sudut undang-undang, bahkan dari sudut syarak yang mempermainkan kesucian ibadah serta memperjudikan keselamatan jemaah.

Justeru beliau sekali lagi mengingatkan umat Islam agar berwaspada dengan tawaran pakej Haji yang mencurigakan dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat unsur penipuan atau penyalahgunaan dalam urusan berkaitan ibadah Haji.

Susulan kes ini, Pasukan Op Haji Terkandas PDRM menahan dua individu berhubung tawaran pakej haji percuma yang mengakibatkan sekumpulan 80 jemaah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu.

Setakat ini, tujuh laporan polis diterima berkaitan kes sama.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM