fb fb fb fb fb

Pelajar antarabangsa UNISZA teruja sertai ibadah korban bersama komuniti kampung

Pelajar antarabangsa UNISZA turut serta melapah daging korban di Kampung Teluk Ketapang.

KUALA NERUS, 7 JUN - 58 penuntut antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), mengambil kesempatan meraikan sambutan Aidiladha bersama komuniti Kampung Teluk Ketapang, Kuala Nerus.

Pelajar dari Indonesia, Pakistan, Nigeria dan Jordan yang turut serta dalam sambutan itu teruja meraikan pengalaman baharu yang jauh berbeza dengan rutin di kampung halaman mereka.

Presiden Persatuan Pelajar Antarabangsa, Iram Shehzadi Sabir berkata, aktiviti ini dapat memberi mereka peluang menyelami kehidupan masyarakat tempatan dengan lebih dekat.

"Pengalaman ini sangat menarik. Ini merupakan kali ketiga saya menyambut Hari Raya Korban di sini dan ia tetap istimewa kepada saya kerana kali ini pasukan tentera turut sama menyertai proses menyembelih dan pengagihan," katanya.

Bagi Balogun Daud, pelajar dari Nigeria, sambutan Aidiladha di sini berbeza dengan kampung halamannya.

"Di negara saya, kami menyambut Aidiladha di rumah masing-masing sahaja. Tetapi di sini, saya melihat sesuatu yang lain kerana komuniti di sini berkumpul menyambutnya bersama-sama. Jadi ini berbeza dengan kelaziman di negara saya Nigeria," ujarnya ketika ditemui pada sambutan tersebut.

Majlis anjuran pengurusan Masjid Al Ansar dengan kerjasama Homestay Teluk Ketapang bersama 150 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat setempat itu turut disertai Kelab Wartawan Media Terengganu.

Pengerusi Homestay Teluk Ketapang, Md Azmi A. Aziz berkata, beliau berbesar hati dengan penganjuran sambutan ini, malah gembira melihat semangat para pelajar yang aktif mengambil bahagian dalam proses penyembelihan.

"Cara kerja kita lebih bersistematik dengan penyediaan kanopi serta sistem bernombor membuatkan mereka tertarik dengan pengurusan yang begitu teratur," kata beliau.

Bukan sahaja penuntut antarabangsa yang menzahirkan keterujaan, malah pengamal media juga turut senada kerana berpeluang melaksanakan ibadah korban yang julung kali dianjur.

Bagi Ishak Abdillah Ngah, sebelum ini, wartawan hanya datang membuat liputan ketika sambutan Aidiladha, namun ini merupakan peluang yang jarang sekali hadir untuk mereka.

"Saya harap majlis begini akan diteruskan pada masa akan datang supaya lebih ramai lagi pengamal media dapat turut serta dalam ibadah korban ini," tambahnya.

Sebanyak 10 ekor lembu ditumbangkan dalam majlis tersebut, disertai hampir 300 orang yang turut sama bergotong-royong melapah daging untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di sekitar Kuala Nerus.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM