KUALA LUMPUR, 7 Jun - Letupan bawah tanah berhampiran paip pembentung Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd di kawasan Perindustrian Bukit Minyak di Bukit Mertajam semalam adalah disebabkan terdapat pelepasan bahan kimia secara haram dari sebuah kilang berhampiran.
IWK menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengesan sisa buangan cecair gas beracun berwarna merah jambu dalam sistem pembetungan berhampiran kawasan kejadian.
"Hasil siasatan awal mendapati rangkaian pembetungan berfungsi dengan normal tanpa sebarang halangan atau kerosakan struktur yang dikesan. Bagaimanapun, penutup lubang pembetung terangkat akibat letupan tersebut dan saluran jalan berdekatan turut mengalami kerosakan," katanya.
Siasatan segera sudah dijalankan setelah mendapat aduan dan langkah-langkah keselamatan di kawasan terjejas turut diambil termasuk kerja-kerja pembarisan kawasan.
"IWK sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan meminta bantuan bagi mengenal pasti punca tumpahan bahan kimia ke dalam sistem pembetungan," maklum kenyataan itu lagi.
Pihak IWK juga akan menjalankan pemeriksaan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa, bagi menilai keadaan dalaman paip pembetung sebelum kerja pembaikan kekal dimulakan.
Sebagai langkah keselamatan segera, penutup lubang pembetung yang terangkat sudah dipasang semula secara sementara.
Berdasarkan siasatan, aliran pembetungan kekal tidak terjejas, menandakan tiada halangan dalaman atau keruntuhan pada peringkat berkenaan.
"IWK kekal komited sepenuhnya untuk membantu pihak berkuasa dalam siasatan lanjut," katanya.
Semalam orang ramai digemparkan dengan satu letupan di dalam tanah berdekatan pembetung milik IWK yang kemudiannya mengeluarkan asap.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 2.46 petang dan sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian.
Pihak bomba mendapati ada bau gas dan bertindak membuat penilaian serta mengukur bacaan tahap kandungan udara di sekitar lokasi kejadian, dibantu oleh unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT).
Namun hasil pemeriksaan bacaan cecair di dalam pembetung mencatatkan tahap neutral, justeru operasi ditamatkan pada 4.38 petang dan tiada sebarang kecederaan dalam insiden itu.