
IPOH, 6 April – Semua kampus Institut Pendidikan Guru (IPG), diarah menghentikan aktiviti lasak dan air buat sementara waktu, susulan kes lemas membabitkan dua pelajar institut berkenaan, Sabtu lalu.
- Siasatan menyeluruh sedang dijalankan melibatkan polis dan siasatan dalaman KPM untuk kenal pasti punca dan nilai aspek keselamatan.
- Wong Kah Woh turun ke IPG Kangar bertemu pelajar terbabit dan mendengar keterangan mereka.
- Pada 9 April, dua pelajar IPG, Christopher dan Joey, dilaporkan lemas ketika berkayak di Pantai Merdeka.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta bagi memberi jaminan keselamatan kepada pelajar serta ketenangan kepada ibu bapa, sementara siasatan dijalankan.
Menurut Wong, siasatan menyeluruh sedang dijalankan melibatkan pihak polis dan siasatan dalaman kementerian bagi mengenal pasti punca kejadian serta menilai aspek keselamatan program.
“Untuk siasatan polis kita akan tinggalkan kepada mereka untuk siasat tetapi bagi siasatan dalaman kita (KPM) akan menyiasat dari semua sudut dan dari kesemua isu yang
berbangkit.
“Sememangnya pada malam semalam saya sendiri telah turun ke IPG Kangar untuk bersama sama dengan anak anak yang terbabit dan mendengar daripada anak anak tersebut dan siasatan akan diteruskan,” katanya kepada pemberita sewaktu Majlis Penyerahan Bas kepada sekolah di negeri Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, Kampung Dato’ Ahmad Said, di sini hari ini.
Dalam kejadian 9 April lepas, dua pelajar IPG lemas ketika menjalani aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah.
Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, dilaporkan lemas apabila kayak dinaiki mereka dipercayai terbalik susulan arus deras.