GEORGETOWN, 14 Mei- Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) membuat siasatan lanjut terhadap kes tangkap khalwat penjawat awam dalam Ops Noda.
Tiga penjawat awam termasuk seorang lelaki yang ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) didapati berkhalwat dengan wanita yang menawarkan khidmat urutan seks.
"Saya minta Setiausaha Kerajaan Negeri membuat siasatan tentang laporan ini. Sebab sekiranya benar, ini satu kesalahan yang memang tidak dibenarkan khususnya oleh penjawat awam semasa waktu kerja mereka sepatutnya menunaikan kewajipan mereka sebagai penjawat awam," kata Chow Kon Yeow kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, ia merupakan isu yang tidak patut berlaku dalam kalangan penjawat awam kerana ia melanggar etika perkhidmatan.
Khamis lalu, Ops Noda oleh JHEAIPP dilakukan susulan risikan selain aduan yang diterima daripada para isteri yang mendakwa suami mereka terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.
Hasil serbuan mendapati kesemua yang ditangkap dipercayai menerima khidmat seks di premis yang berselindung disebalik pusat urutan tradisional.
Seramai empat lelaki termasuk tiga penjawat awam berusia 30 hingga 45 tahun dan ada yang berstatus suami orang.
(Foto Hiasan)