BATU PAHAT, 14 Mei- Seorang pengarah syarikat perkayuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas tuduhan gagal mengemukakan cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN) melibatkan cukai pendapatan RM2 juta, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Goh Boon Chai, 58 tahun membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nur Asidah A.Rahman.
Tertuduh yang merupakan pengarah bagi Syarikat Utara Raya Sendirian Berhad setelah dikehendaki mengemukakan suatu penyata pendapatan dan Borang C bagi tahun taksiran bagi tahun 2019, 2020 dan 2021 gagal mengemukakan penyata tersebut kepada Ketua Pengarah LHDN.
Beliau didapati gagal mengemukakan cukai pendapatan berjumlah RM760,625 bagi cukai taksiran 2019, RM821,460 bagi 2020 dan RM1.18 juta bagi tahun 2021.
Kesemua jumlah itu melibatkan cukai yang sepatutnya dibayar sebanyak lebih RM500,000 mengikut Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Kes didakwa mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen dan akta yang sama.
Sebutan semula kes ditetapkan 11 Jun bagi lantikan peguam tertuduh dan hukuman.
(Perbicaraan berlangsung di Mahkamah Batu Pahat)