fb fb fb fb fb

Perlis catat peningkatan kes kemalangan jalan raya tahun lepas

BESERI, 18 Januari - Kejadian kemalangan jalan raya di seluruh Perlis direkodkan sebanyak 2,278 kes tahun lepas, berbanding hanya 1,594 kes sepanjang tahun 2021.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 41 peratus dengan mencatatkan jumlah maut akibat kemalangan jalan raya ialah 63 orang pada 2022 berbanding 43 orang pada 2021.

Bagi kes kecederaan parah, sebanyak 68 orang dilaporkan terlibat pada 2022 berbanding hanya 33 orang pada 2021.

Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Surina Saad berkata, berikutan peningkatan kes itu, Ops Selamat 19 yang bermula hari ini hingga 27 Januari memberi tumpuan kepada enam lokasi utama berlakunya kemalangan jalan raya di seluruh Perlis.

Antara laluan terlibat ialah Jalan Changlun ke Kuala Perlis, Jalan Kangar-Alor Setar dan laluan antara Kangar ke Padang Besar yang merekodkan peningkatan kes kemalangan jalan raya.

Sepanjang Ops Selamat 19 seramai 106 pegawai dan anggota polis kontinjen Perlis akan terlibat dalam operasi termasuk sekatan jalan raya dan rondaan sepanjang laluan dikenal pasti.

"Kesemua dari tahun 2021 perbandingan 2022 semua kemalangan meningkat. untuk Ops Selamat kali ini kita harap kita dapat memberi advokasi lah kepada masyarakat negeri Perlis ini supaya lebih mematuhi undang-undang dan sentiasa memperbaiki kenderaan masing-masing
supaya dalam keadaan elok untuk dibawa.

"Saya tengok masalah utama di negeri Perlis ini kita tengok penunggang motosikal banyak yang tidak pakai topi keledar dan selalunya mereka selalu melawan arus dan sebagainya, itu benda-benda kecil yang perlu kita ubah," kata Surina di sini.

(Surina ditemui media pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Pencegahan
Jenayah 
serta Pelancaran Op Selamat 19 Peringkat Kontinjen Perlis
di Sekolah Kebangsaan Seri Tunjong, di sini)

Bersempena majlis itu, pihak polis turut mengadakan program advokasi dengan tumpuan kepada pelajar sekolah dan ibu bapa tentang pelbagai aspek berkaitan keselamatan di jalan raya serta peraturan yang perlu dipatuhi.

Selain itu turut diadakan pameran keselamatan jalan raya, pameran Polis Diraja Malaysia (PDRM), pembayaran saman trafik serta gerai jualan.

Media Baharu