KANGAR, 23 Januari- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis menerima 1,051 panggilan kecemasan bagi tempoh Januari hingga 31 Disember 2024 di seluruh Perlis.
Daripada jumlah berkenaan, 773 melibatkan kes kebakaran, 273 bagi kes penyelamatan dan empat kes khidmat kemanusiaan.
Menurut Timbalan Pengarah JBPM Negeri, Penguasa Kanan Bomba II, Na Khoom Kiang, berdasarkan data 2024 jumlah kes kecemasan meningkat berbanding hanya 880 kes sepanjang 2023.
Daripada aspek taksiran kerugian, sepanjang 2024 berjumlah RM3.958 juta dengan jumlah diselamatkan sebanyak RM13.212 juta.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis ada seramai 251 anggota dan pegawai, untuk jentera juga kita ada lima keluaran untuk lima balai, lima jentera yang bersedia serta terdapat dua unit EMRS manakala untuk Rapid Intervention Motorcycle Team atau lebih dikenali sebagai unit RIM kita memang ada tiga unit di Balai Kangar untuk rondaan," katanya.
Beliau memaklumkan pada Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baharu Cina dan Pelepasan Ops Raya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis di Kangar.