fb fb fb fb fb

Kes HFMD di Kedah turun 33 peratus

ALOR SETAR, 7 Jun- Jumlah kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Kedah mencatatkan penurunan sebanyak 33 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-22 bermula 29 Mei hingga 4 Jun lalu.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr. Mohd Hayati Othman berkata, 789 kes direkodkan bagi tempoh tersebut berbanding 1,178 yang dikesan pada Minggu Epidemiologi ke-21

"Setakat ini Kedah mencatatkan keseluruhan 4,192 kes HFMD, namun tiada kejadian serius dilaporkan.

Lima kluster baharu dilaporkan membabitkan tadika dan taska, kesemua premis berkenaan diarah tutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya menerusi kenyataan.

(Datuk Dr. Mohd Hayati Othman, Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah)

Jelas beliau, semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberi rawatan pesakit luar serta tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif.

Mengulas lanjut, Daerah Kuala Muda mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 946 kes; diikuti Kubang Pasu, 625; Kulim, 588 dan Kota Setar, 446 kes.

Katanya, sebanyak 50 wabak HFMD juga dilaporkan tahun ini dengan 49 daripadanya berlaku di pusat pendidikan seperti taska, tadika dan prasekolah.

Media Baharu