fb fb fb fb fb

Kes curi kepala paip air tembaga, individu ditahan polis ada rekod lampau kesalahan dadah - Polis Kelantan

KOTA BHARU, 20 Januari - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian kepala paip air tembaga di sekitar daerah Kota Bharu, Kelantan petang semalam.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, penahanan suspek dibuat berdasarkan aduan daripada orang awam dan pihak Air Kelantan Snd.Bhd (AKSB).

Menurutnya, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK dan IPD Kota Bharu di sebuah rumah di Kota Bharu jam 4.30 petang semalam.

Pihak polis kemudian membuat pemeriksaan di dalam bilik tingkat atas rumah dan bahagian hadapan rumah menemui pelbagai peralatan paip dan meter air.

"Hasil siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai tukang paip itu mengaku terlibat dengan kes kecurian meter air dan peralatan paip sejak setahun lalu di sekitar daerah itu," katanya sidang media Sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Barangan yang dicuri, digunakan bagi kerja pembaikan paip dan dijual di kedai barangan lusuh.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

"Ujian saringan urin suspek didapati Positif Methamphetamine dan suspek juga mempunyai 3 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah," tambahnya.

Turut dirampas sebuah beg berisi mata gergaji besi,perengkuh paip, ragum, alat pemotong paip pvc, sekotak batang paip besi pelbagai saiz dan penyambung paip besi, serta satu meter air bernombor siri, sebuah mesin air dan sebuah motosikal.

Suspek direman selama 4 hari bermula hari ini hingga Ahad depan.

Video berdurasi 21 saat itu menjadi tular di laman sosial menunjukkan beberapa meter air bocor selepas kepala meter dicuri.

Sementara itu, beliau turut memberitahu berlaku kenaikan mendadak berkaitan kes penipuan e-Dagang tahun lalu iaitu sebanyak 309 kes dengan nilai kerugian lebih RM1 juta berbanding tahun sebelumnya sebanyak 229 kes dengan nilai lebih RM800,000.

"Penipuan berkait dengan kerja sambilan dalam talian meningkat secara mendadak apabila daripada tiada kes direkodkan pada tahun 2020 meningkat kepada 79 kes dengan kerugian sebanyak RM643,157.49 pada tahun lalu," tambahnya.

Bagi tahun ini, 11 kes dicatatkan setakat 18 Januari lalu dengan kerugian RM134,240.

 

Media Baharu