KUALA LUMPUR, 20 Januari- Kejadian banjir luar biasa melanda Selangor pada 18 Disember lepas antaranya disebabkan amaran cuaca tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, banjir luar biasa itu berlaku apabila andaian hanya negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia akan terjejas banjir yang dibawa oleh hujan lebat berterusan kesan luruan monsun.
"MET Malaysia telah mengeluarkan sebanyak 6 kali amaran cuaca signifikan yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan. Namun, kerana andaiannya hanya negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang akan terjejas akibat banjir yang dibawa oleh hujan lebat berterusan akibat luruan monsun.
"Persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh juga lebih banyak tertumpu kepada negeri-negeri di Pantai Timur dan banjir luar biasa di Selangor yang berlaku ini adalah di luar jangkaan banyak pihak," jelas Perdana Menteri ketika memberi penerangan mengenai kronologi banjir luar biasa di Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 Dewan Rakyat, pagi tadi.
Tambah Perdana Menteri, dalam tempoh sama terdapat beberapa negeri lain yang turut dilanda banjir malah ada negeri yang dilanda banjir pada skala yang lebih buruk seperti di Pahang.
Namun disebabkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah adalah teratur dan bersedia, bencana dapat dikendalikan dengan baik walaupun terdapat beberapa cabaran.
Ismail turut menjelaskan banjir di Selangor yang bermula pada 18 Disember 2021 berlaku akibat jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan.
Pada masa yang sama, kejadian air pasang turut menyebabkan banjir lebih buruk.