fb fb fb fb fb

Kes bunuh Zayn Rayyan, beri ruang polis siasat - KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (kiri) bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Kuda Lasak (Terbuka) Ketua Polis Negara 2024 di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong / Foto Bernama

SETIU, 2 Jun - Semua pihak diminta untuk bertenang dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap ibu bapa kanak-kanak itu, yang ditahan di sekitar Puncak Alam, Jumaat lalu.

"(Ibu bapa mangsa) masih direman tujuh hari, bagi (masa) polis Selangor untuk siasat. Buat masa ini itu sahaja dan kita akan terus siasat," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Kuda Lasak (Terbuka) Piala Ketua Polis Negara 2024 di Terengganu International Endurance Park Lembah Bidong, di sini.

Razarudin turut mengesahkan selain ibu bapa kanak-kanak berumur enam tahun itu, tiada tangkapan lain dilakukan dan polis masih mencari petunjuk lain bagi membantu siasatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN