PUTRAJAYA, 18 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengemukakan bukti yang mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, beliau akan didakwa atas kesalahan rasuah.
Jelas Anwar, tuduhan dibuat Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu adalah serius dan perlu disiasat.
"Kalau dia (Hamzah) ada bukti dia kena bawa kes, tapi apa lagi dia nak kata. Yang saya tahu saya belum jumpa (Iskandar Dzulkarnain), saya belum hubungi beliau, saya tak hantar wakil, tak tahu siapa yang ugut. Kalau ada bukti, dia perlu keluarkan.
"Kalau ada, ini satu tuduhan serius, dia patut bawa laporan dan biar ada siasatan," kata Anwar pada sidang media Simposium 'The Path Towards Greater Prosperity For Malaysia' anjuran Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya (UM) di sini.
Terdahulu, PN mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, akan didakwa atas kesalahan rasuah.
Hamzah juga mendakwa tindakan menakut-nakutkan itu dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya Kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.
Ditanya berhubung rombakan kabinet, beliau berkata kekosongan tersebut akan diisi sekiranya sudah ada calon yang sesuai.
(Foto BERNAMA)
Artikel Berkaitan:
Ahli Parlimen Kuala Kangsar sokong PM