PUTRAJAYA, 18 Oktober- Tindakan Israel yang melakukan serangan di Semenanjung Gaza amat keterlaluan dan tiada perikemanusiaan.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau turut kesal dan mengecam tindakan mereka yang melakukan serangan di hospital.
"Apapun, siapapun dituduh, maknanya ini kesan daripada serangan dan perang. Sebab itu kita kata sebaiknya hentikan.
"Ini masa untuk kita redakan keadaan dan hentikan, kalau teruskan mangsanya wanita, anak-anak, pesakit, ini sudah sampai ke tahap gila dan hilang perikemanusiaan," kata Anwar pada sidang media Simposium 'The Path Towards Greater Prosperity For Malaysia' anjuran Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya (UM) di sini.
Tambah Anwar, beliau turut akan berjumpa Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammad bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud dalam masa terdekat bagi membincangkan konflik tersebut.
Ditanya mengenai status pasukan pengaman negara di bawah misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Anwar menyatakan, keputusan mengekalkan pasukan keamanan di negara itu dibuat bersama Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
"Jika keadaan keselamatan terjamin, Malaysia akan teruskan dan jika sebaliknya akan di bawa pulang," kata Anwar.
Terdahulu, lebih 500 orang maut selepas Hospital Al-Ahli Al-Arabi yang terletak di utara Semenanjung Gaza dibom.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengutuk serangan tersebut dan menyifatkannya insiden paling berdarah sejak Israel melancarkan serangan balas dalam perang dengan Palestin.
(Foto AFP)
Artikel Berkaitan:
Tindakan Israel bom hospital di Gaza adalah jenayah perang, biadab - Serantau Muslim
WHO kutuk serangan maut ke atas hospital Gaza
Serangan Israel di Gaza, kanak-kanak hidup dalam ketakutan
Diserang Israel tanpa henti, penduduk Gaza hanya dengar bunyi 'kematian'
Ketua Hamas gesa penduduk tolak 'perpindahan', pertahan tanah air Palestin di Gaza