fb fb fb fb fb

Op Khas Pagar Laut perkukuh keselamatan maritim

FOTO RTM

BINTULU, 21 Mac- Bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Bintulu melaksanakan Op Khas Pagar Laut & Raya di Samudera sejak 12 Mac lalu. Operasi ini bukan sahaja menumpukan keselamatan maritim, tetapi juga merangkumi aktiviti kemasyarakatan bagi mendekati penduduk setempat.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, berkata operasi tersebut bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan dalam membanteras jenayah dan aktiviti haram di perairan negara.

“Selain memantau barangan kawalan, kami turut memberi tumpuan kepada pemeriksaan bot dan kapal yang mencurigakan.

"Pada tahun 2024, nilai rampasan dan tangkapan dalam operasi terdahulu berjumlah RM20.5 juta,” katanya kepada pemberita di Kapal Setia, semalam.

Menariknya, operasi itu turut menyantuni masyarakat dengan pengagihan bubur lambuk kepada kapal yang berlayar, sebagai tanda keprihatinan terhadap komuniti maritim, khususnya di bulan Ramadan.

Jelas Muhammad Suffian lagi, OP Khas Pagar Laut & Raya di Samudera diharap terus memperkukuh keselamatan perairan negara serta hubungan antara pasukan keselamatan dan masyarakat setempat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE