fb fb fb fb fb

Lelaki maut, lima cedera dalam kebakaran rumah di Banda Hilir

Foto JBPM

BANDA HILIR, 21 Mac - Seorang lelaki maut manakala lima yang lain cedera dalam kejadian kebakaran sebuah rumah dua tingkat di sini, awal pagi tadi.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Suhaimi Atan, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian sekitar pukul 4.00 pagi tadi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.27 pagi.

Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal dua tingkat yang terbakar hingga 70 peratus.

"Ketika kejadian, kesemua mangsa berada di tingkat atas rumah. Seorang mangsa berjaya keluar daripada rumah manakala empat lagi diselamatkan pasukan bomba. Namun seorang lelaki berumur 59 tahun terperangkap dan disahkan meninggal dunia," menurut Suhaimi menerusi kenyataan.

Turut terbakar ialah dua buah kereta jenis Kia Picanto dan Honda Accord serta sebuah van.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan dan proses bedah siasat. Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

TETITIA YUSOFF