KUALA LUMPUR, 24 November - Sebanyak 30 kes penipuan pengambilan pembantu rumah tanpa lesen dilaporkan bagi tempoh Januari 2023 hingga Oktober 2025 dengan jumlah kerugian mencecah lebih RM260,000
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sindiket dikesan semakin agresif menggunakan platform digital dan iklan palsu dalam talian bagi memperdaya mangsa.
Trend membabitkan kegiatan berkenaan menunjukkan peningkatan ketara sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.
"Dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM260,972, sebanyak 11 kes telah direkodkan pada tahun 2023. Pada tahun 2024, hanya 4 kes dicatatkan, namun sehingga Oktober 2025, jumlah itu meningkat kepada 15 kes. Peningkatan kes pada tahun 2025 menunjukkan kewujudan semula sindiket agresif yang mengeksploitasi penggunaan platform digital melalui iklan palsu dan tawaran pengambilan pembantu rumah dalam talian,” katanya ketika menjawab soalan ahli parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, kerajaan komited membanteras kegiatan berkenaan susulan ia bukan sahaja memberi implikasi kewangan kepada mangsa, malah mencemarkan imej industri agensi pekerjaan swasta yang sah dan berlesen.
"Dalam tempoh sama, sebanyak 13 pendakwaan diambil terhadap agensi pekerjaan swasta (APS) di bawah Seksyen 7 (Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 kerana merekrut tanpa lesen); Seksyen 9 (gagal mematuhi syarat lesen) dan Seksyen 13D, iaitu tiada dokumen pengenalan diri dengan jumlah denda diputuskan mahkamah bernilai RM205,000," jelas beliau.
Berhubung soalan tambahan ahli parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berhubung risiko pembantu rumah menjadi perantara sindiket penipuan, Datuk Seri Abdul Rahman memaklumkan, kerajaan menjalankan kerjasama rentas agensi bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM dan Jabatan Imigresen termasuk operasi bersepadu.
Ia bertujuan mengesan pembabitan pembantu rumah dalam urusan kewangan atau transaksi digital merentas negara.
