SERDANG, 24 November - Pensyarah Kanan, Jabatan Industri Kayu dan Gentian, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr H’ng Paik San membuktikan penemuan berkaitan biomassa lignoselulosa (LCB), iaitu bahan semula jadi berkarbon tinggi berasaskan kayu, berpotensi menjadi sumber tenaga alternatif serta asas kepada pelbagai produk mampan pada masa hadapan.
Jelasnya, LCB yang mengandungi 35 peratus hingga 65 peratus karbon dan mudah diperoleh daripada tumbuhan, kini diiktiraf sebagai salah satu sumber termaju untuk menghasilkan bahan karbon bernilai tinggi dan berpotensi sebagai sumber tenaga strategik negara.
“Selama ini kayu dilihat sebagai material binaan atau perabot tetapi sebenarnya mempunyai sifat bahan yang jauh lebih kompleks. Dengan teknologi dan kepakaran penyelidik, kayu serta biomassa tumbuhan boleh ditukarkan kepada pelbagai produk baharu bernilai tinggi,” katanya dalam syarahan bertajuk “The Transition of Lignocellulosic Biomass into Carbon Material for Bioproducts and Energy”, baru-baru ini.
Beliau turut menyatakan bahawa hampir semua komponen dalam bateri moden termasuk bateri kenderaan elektrik (EV) boleh dikitar semula, kecuali anod, yang kini banyak dihasilkan daripada arang batu yang akhirnya akan pupus.
“Inilah ruang inovasi LCB yang sedang kita membangunkan bahan anod baharu daripada lignoselulosa, yang bukan sahaja boleh diperbaharui malah lebih mampan. Ini membuka jalan kepada rantaian bekalan bateri yang lebih hijau dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau turut menghuraikan pelbagai teknologi penukaran seperti pirolisis, gasifikasi, karbontisasi hidrotermal dan aktivasi fiziko-kimia, mampu memecahkan struktur kompleks LCB kepada bahan karbon berprestasi tinggi
“Teknologi penukaran LCB membuka industri karbon masa depan dan transformasi ini membuka peluang luas dalam penghasilan produk bio, pembangunan bahan penyimpanan tenaga, inovasi komposit hijau serta aplikasi industri berimpak besar termasuk tenaga boleh baharu dan bioekonomi,” katanya.
Sejak 2006, penyelidikan Prof. Datuk Dr H’ng telah menunjukkan bahawa LCB mampu berfungsi sebagai pengganti separa bahan api fosil, sekali gus berpotensi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca secara signifikan.
Namun, beberapa cabaran perlu ditangani termasuk meningkatkan kecekapan teknologi penukaran, memastikan daya saing kos dan mewujudkan rantaian bekalan biomassa yang mampan serta beretika.
“Transformasi biomassa kepada bahan karbon bukan sekadar inovasi saintifik, tetapi langkah penting menuju masa depan rendah karbon. Jika dimanfaatkan secara optimum, LCB boleh menjadi kunci kepada revolusi tenaga mampan negara,” tambahnya.
