KUALA LUMPUR, 24 November – Kerajaan sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab memperkukuh kedudukan fiskal negara sambil memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata langkah-langkah meningkatkan hasil negara akan dilaksanakan secara berhati-hati dan melalui libat urus dengan pihak berkepentingan, mengambil kira keperluan fiskal negara tanpa membebankan rakyat dan generasi akan datang.
“Sehubungan itu, walaupun pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT) tidak diteruskan, prinsip asas cukai tersebut telah disemak semula dan diselaraskan dengan penambahbaikan dasar percukaian sedia ada melalui semakan semula kadar cukai jualan dan perluasan skop cukai perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
"Melalui pendekatan ini, barangan mewah dan barangan pilihan kini dikenakan cukai jualan pada kadar 5 peratus atau 10 peratus, selaras dengan matlamat asal HVGT untuk memastikan golongan berkemampuan menyumbang secara saksama kepada hasil negara,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli di Dewan Rakyat.
Beliau menjelaskan barangan yang dikenakan termasuk kategori yang sebelum ini dikaitkan dengan HVGT seperti pakaian premium, jam tangan dan barangan pilihan lain yang biasanya dibeli oleh golongan berpendapatan tinggi.
Beliau berkata kadar cukai jualan yang dikenakan dianggap memadai buat masa ini dan pendekatan berfokus pada barangan bukan asas ini dipilih bagi memastikan penentuan barangan bercukai adalah telus, konsisten dan tidak bergantung kepada definisi ke atas barangan yang dikategorikan sebagai mewah.
Tambahnya, pendekatan tersebut juga mengambil kira kesan terhadap industri dan pengguna serta membolehkan pelaksanaan yang lebih lancar di bawah sistem percukaian sedia ada.
Kerajaan akan terus menilai keberkesanan langkah ini dari semasa ke semasa untuk memastikan struktur percukaian kekal progresif, mampan dan selaras dengan keperluan fiskal negara.
