KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Kira-kira 5,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalani latihan peralihan setiap tahun bagi membantu anggota dan veteran ATM menyesuaikan diri dengan kerjaya kedua.
Inisiatif Kementerian Pertahanan itu dijalankan menerusi program di bawah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, persediaan persaraan anggota dimulakan dalam tempoh 1 hingga dua tahun sebelum tamat perkhidmatan.
"Bagi kumpulan sasaran ini, Kementerian Pertahanan sedang giat melaksanakan Inisiatif Work-Based Learning (WBL) sebagai pengiktirafan terhadap pengalaman dan kemahiran melalui pemetaan kerjaya kepada kurikulum akademik," beliau menyatakannya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau.
Turut dilaksanakan Kerjaya Perwira, Veteran MyWira, Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM, USAHAWANTANI serta Program Pensijilan Kompetensi Kemahiran.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor, Adly berkata seramai 61,867 veteran ATM menerima pelbagai bentuk bantuan kebajikan dan kesihatan.
"Ia melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM288 juta," katanya di Dewan Rakyat.