PUTRAJAYA, 15 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan Khazanah Nasional Berhad Bhd (Khazanah) melabur sebanyak RM600 juta bagi tujuan pemuliharaan bangunan warisan di ibu negara termasuk Carcosa Seri Negara, yang disifatkannya sebagai simbol penting sejarah dan identiti nasional.
Menurut beliau, projek tersebut bukan semata-mata usaha memulihara bangunan lama, sebaliknya satu langkah untuk memperkukuh warisan Raja-Raja Melayu serta mengekalkan nilai sejarah perjalanan negara menuju kemerdekaan.
“Ini ada soal Carcosa yang dibangkitkan, ini masalah bila kadang-kadang pembangkang tak baca. Ini (Carcosa) adalah warisan.
Saya bangga dengan sejarah saya, saya bangga dengan bangunan Carcosa sebagai warisan Raja-Raja Melayu yang ada peranan.
Kuala Lumpur perlu dikenali sebagai bandar moden dari segi teknologi, tetapi segar dengan budayanya. Apabila kita mula melabur di situ, ia akan menarik pelaburan lain untuk berkembang di sekitarnya,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bagi bulan Oktober di sini, hari ini.
Terdahulu, Khazanah menjelaskan pelaburan RM600 juta bawah inisiatif Warisan KL bukan hanya tertumpu kepada pemulihan Carcosa Seri Negara, tetapi turut merangkumi enam blok bangunan dalam Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata pelaburan tersebut bertujuan menggiatkan semula warisan ibu negara dan mentakrifkan semula peranannya sebagai hab budaya dan ekonomi.