fb fb fb fb fb

Malaysia tegas perkukuh kerjasama tenaga serantau melalui ASEAN Power Grid

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Malaysia menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama tenaga serantau menerusi pelaksanaan ASEAN Power Grid (APG) di bawah Kepengerusian ASEAN 2025, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata inisiatif APG merupakan antara usaha strategik bagi meningkatkan keselamatan tenaga, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dan memperkukuh keterhubungan tenaga antara negara anggota ASEAN.

“APG bukan sekadar infrastruktur, tetapi simbol perpaduan dan keterhubungan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada sesi bersama Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB) mengenai pembiayaan APG sempena ASEAN Energy Business Forum (AEBF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

"APG bukan sekadar infrastruktur, tetapi akan menjadi lambang perpaduan dan keterhubungan kita. Malaysia berbesar hati untuk meletakkan pengesahan Memorandum Persefahaman (MOU) APG yang Dipertingkatkan sebagai salah satu Keutamaan Ekonomi di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.

Penyempurnaan MOU ini akan menandakan komitmen baharu ASEAN untuk memperkukuh kerjasama tenaga kita melalui APG. Ini juga menandakan komitmen baharu rantau ini untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif tenaga rentas sempadan tersebut," jelasnya.

Datuk Seri Fadillah turut menekankan aspek pembiayaan merupakan faktor penting dalam memastikan kejayaan APG.

“Tanpa mekanisme pembiayaan yang mencukupi dan inovatif, projek yang dijanjikan boleh terbantut. Kita mesti menggembleng modal awam dan swasta serta mewujudkan persekitaran yang menarik untuk komitmen jangka panjang,” katanya.

Beliau turut memuji kerjasama rapat antara Bank Dunia, ADB, Sekretariat ASEAN dan ASEAN Centre for Energy (ACE) dalam membangunkan inisiatif pembiayaan APG.

Selain itu, beliau menyokong cadangan penubuhan Kumpulan Kerja Pembiayaan APG, yang akan terdiri daripada Sekretariat ASEAN, ACE, Bank Dunia dan ADB dengan ACE bertindak sebagai sekretariat kumpulan tersebut.

Malaysia juga menyambut baik peranan ACE sebagai Sekretariat APG baharu di bawah MOU Dipertingkatkan APG yang akan menyelaras kerjasama antara negara anggota dan badan tenaga ASEAN.

“Menteri-menteri Tenaga ASEAN termasuk saya amat berharap dapat melihat kemajuan APG untuk kemakmuran bersama,” katanya lagi.

Forum AEBF 2025 menghimpunkan pembuat dasar, pakar tenaga dan pelabur serantau bagi membincangkan hala tuju tenaga mampan dan pelaburan strategik menjelang 2045.

NORAINI BINTI WAHIB