KUALA LUMPUR, 9 November- Sasaran untuk mencapai 100 peratus Kadar Sara Diri (SSR) bagi memenuhi keperluan domestik melalui pengeluaran tempatan adalah mustahil.
Bagaimanapun, usaha untuk mempertingkat khususnya hasil padi tempatan terus dipergiat bagi mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus SSR menjelang 2030.
Ke arah itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menekankan kerjasama semua pihak adalah penting bagi merealisasikan sasaran berkenaan.
"Kalau nak capai 100 peratus, mana-mana negara pun tidak berupaya di atas muka bumi ini.
"Banyak kajian dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan universiti-universiti, semua tumpu sekarang ke arah meningkatkan hasil, tidak boleh 20 tahun masih lagi empat hingga lima tan, sekarang kita kena usaha ke arah sekurang-kurangnya tujuh tan untuk satu hektar, ke arah capai cukup beras itu sekiranya diusaha secara insentif.
"Tahun 2030, kita akan cuba capai 80 peratus, jadi SSR untuk 100 peratus tidak boleh tetapi kita boleh usaha semaksimum mungkin, kerajaan negeri termasuk bukan daripada Kerajaan Perpaduan turut memberi kerjasama," kata Mohamad ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi di Dewan Rakyat di sini.
Mohamad turut memaklumkan usaha menangani isu kekurangan ayam dan telur akan terus dipergiat walaupun bekalan itu semakin stabil.