SHAH ALAM, 13 Disember- Pelajar digalakkan membangunkan jenama peribadi di platform digital bagi meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan menghasilkan kandungan yang relevan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, penjenamaan peribadi dalam penggunaan digital itu mampu membuka peluang pekerjaan yang lebih luas, selain memberikan persiapan awal yang efektif.
"Kita bukan sahaja datang untuk belajar, tetapi semasa belajar itu, kita menghasilkan kandungan dan meletakkannya di media digital.
"Jadi, majikan yang ingin mengambil mereka sebagai pekerja kelak boleh melihat hasil kerja mereka, contohnya di TikTok atau platform lain.
"Kita di RTM menawarkan peluang kepada pelajar untuk menghasilkan kandungan menarik yang boleh dimuatkan dalam RTMKlik.
"Saya rasa ini adalah kerjasama yang bagus antara RTM dan UiTM (Universiti Teknologi MARA), di mana kandungan yang dihasilkan pelajar akan menjadi sebahagian daripada ‘resume’ mereka," katanya semasa Program Syarahan Kehormat Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media bertemakan Penjenamaan dan Kewartawanan Penyiaran di UiTM Shah Alam di sini.
Beliau turut menambah bahawa pelajar perlu memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) untuk meningkatkan kemahiran kritikal dan strategik, sejajar dengan keperluan industri masa depan.
Langkah berkenaan katanya akan membantu melahirkan graduan berkualiti tinggi dan meningkatkan kesiapsiagaan mereka untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan.