fb fb fb fb fb

Kerjasama pelbagai sektor, KSM komited perkasa kursus kemahiran automotif

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong

PERAI, 24 Februari- Kementerian Sumber Manusia (KSM) terus bekerjasama dengan sektor awam dan swasta dalam memperkasa bidang automotif, selari usaha memperluas pembelajaran kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET).

Sebuah kereta elektrik (EV) dan sistem diagnostik EV yang bernilai lebih kurang RM250,000 disumbangkan oleh Pusat Kecemerlangan Autotronic kepada Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai, bakal memberi manfaat kepada 500 pelajar.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata sumbangan dan kerjasama itu mampu memberikan pembelajaran secara langsung kepada pelajar yang mengikuti kursus automotif berkenaan.

"Jadi, hari ini saya berasa gembira kerana kita telah menaik taraf pembelajaran automotif. Kursus automotif di ILP Perai ini bukan sahaja dalam sistem konvensional dan tradisional iaitu enjin pembakaran dalaman tetapi juga ada sistem baharu iaitu sistem Kenderaan Elektrik Sepenuhnya (BEV)."

"Dengan kerjasama ini, pelajar akan dapat pengalaman secara langsung," kata Sim kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan EV dan kelengkapan EV di ILP Perai, petang tadi.

ILP Perai telah diiktiraf sebagai ILP pertama di Malaysia dengan pengiktirafan Kenderaan Elektrik Sepenuhnya (BEV) mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM