fb fb fb fb fb

PM mahu generasi al-Quran diperluas, diperkukuh

Anwar Ibrahim dan Ahmad Maslan pada ReQAF 2024 di Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA, 24 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran terus diperluas bagi melahirkan generasi al-Quran.

Tambah beliau, generasi al-Quran dapat mendidik masyarakat supaya menolak sebarang bentuk penyelewengan dan rasuah.

"Generasi al-Quran ini, dia baca, faham dan amalkan. Kalau tidak, kita ada kesenjangan atau perbezaan. Kita bicarakan mengenai keadilan, tapi kita tolak ansur dengan penyelewengan, kezaliman dan rasuah yang berlaku.

"Pendirian saya dalam Kerajaan MADANI, saya tidak mahu tolak ansur lagi mengenai prinsip tatakeloka, bersihkan negara daripada rasuah," katanya ketika berucap merasmikan Restu Global Quranic Arts Festival (ReQAF) 2024 di Kompleks Nasyrul Quran di sini.

Restu Global Quranic Arts Festival 2024 bertema "Gaya Hidup Islami" yang berlangsung dari 23 Feb hingga 3 Mac ini bertujuan mempromosi Islam sebagai sebahagian gaya hidup selain menggalakkan pemahaman dan penghayatan yang lebih mendalam terhadap al-Quran melalui medium seni.

Anwar turut melancarkan Mushaf Al-Ummah yang bertujuan mengembalikan tradisi penyalinan al-Quran seperti yang dilakukan sepanjang sejarah Islam bermula sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Beliau juga melancarkan Buku ADAB MADANI bagi mengembalikan budaya menyalin dan menulis dalam kalangan masyarakat, menggalakkan penulisan positif agar elemen positif ditonjolkan dalam kehidupan masyarakat berbanding elemen negatif, selain memupuk akhlak baik merentasi bangsa, warna kulit, golongan dan fahaman.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa dan Timbalan Pengerusi merangkap Pemegang Amanah Yayasan Restu, Datuk Seri Ahmad Maslan.

SITI AISHAH MD ISA