
KRUBONG, 7 Ogos – Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan diperluas kepada 200,000 pelajar menjelang tahun 2030 bertujuan memastikan prestasi pelajar daripada pelbagai latar belakang dapat terus dipertingkatkan.
- Peluasan Program Tuisyen Rakyat Selangor bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar daripada pelbagai latar belakang.
- Peranan universiti diperkasakan melalui penubuhan Selangor University Network Council melibatkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
- Rancangan Selangor Kedua menjadi kerangka lima tahun menumpu pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peluasan itu merupakan antara inisiatif pembangunan modal insan bawah Misi Keempat Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026-2030.
“Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang telah menunjukkan impak positif akan diperluaskan bagi memberi manfaat kepada 200,000 pelajar menjelang 2030, sekali gus meningkatkan prestasi akademik pelajar daripada pelbagai latar belakang.
“Pada masa sama, peranan universiti akan diperkasakan menerusi penubuhan Selangor University Network Council yang menghimpunkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2), pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Langkah itu bagi memastikan prestasi pelajar daripada pelbagai latar belakang terus dipertingkatkan, susulan kejayaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang menerima penghargaan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor selama tiga tahun berturut-turut.
Penghargaan itu diberikan atas sumbangan program berkenaan terhadap peningkatan pencapaian pelajar dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
RS-2 merupakan kerangka pembangunan Selangor bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menggariskan enam misi, melibatkan 25 bidang dan 98 inisiatif.
Rancangan lima tahun itu memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara daerah serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Semua usaha itu dilaksanakan berteraskan prinsip kehidupan yang wajar dan bermaruah, manakala peluasan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dijangka memberi lebih banyak peluang kepada pelajar mendapatkan sokongan akademik, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan negeri menjelang 2030.