fb fb fb fb fb

Kerjasama Kerajaan Perpaduan pada tahap terbaik - Anwar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Ogos- Rundingan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 masih terbuka walaupun pemimpin UMNO mahu parti itu menjadi dominan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin rundingan antara BN dan komponen gabungan akan berjalan dengan lancar dalam mendepani landskap politik negara.

"Hubungan kita dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih sangat baik sebab pada peringkat ini kerjasama itu sangat memuaskan."

"Jadi, untuk masa depan itu kita masih buka ruang untuk berbincang secara baik," kata Anwar kepada pemberita pada Program Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan golongan yang sering mengkritik usaha baik kerajaan hanya bersandarkan modal politik semata-mata.

Jelasnya, golongan itu sering kali dikuasai perasaan hasad dengki sehingga sanggup melemparkan pelbagai tuduhan serta cercaan yang berlebihan.

"Itu modal politik sahaja tetapi kerja tidak buat pun. Saya ingat ada masalah penyakit dengki dan hasad. Kemudian, boleh tuduh orang macam-macam, cerca dan sebagainya."

"Apa yang kita lakukan pun takde satu dihargai. Bukanlah untuk berterima kasih tetapi sekurang-kurangnya jangan cerca. Ini berlebihan kadang-kadang," tambah Anwar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersimpati dengan nasib malang yang menimpa wanita warga India dalam insiden tanah jerlus, Jumaat lalu.

Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita terbabit perlu diteruskan, selain mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk bertemu keluarga mangsa.

"Saya sudah sebut tadi dalam ucapan. Saya sudah minta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berjumpa keluarga dan kita lahirkan simpati. Kerja menyelamat itu harus diteruskan juga dan ada masalah tentang tanah itu kita kena selesaikan," jelas Anwar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM