KEMAMAN, 29 November- Kerjasama lebih erat antara pelbagai agensi termasuk di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat mengelakkan pertindihan dalam usaha kerajaan mengatasi kemiskinan tegar di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ke arah itu, ia boleh dilaksanakan bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang banyak membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan negara sejak penubuhannya pada 1987.
"Saya akan minta KKDW di bawah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya beri kerjasama dan badan-badan seperti Felcra, Risda serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencari jalan bagaimana aspek membantu rakyat termiskin itu tidak bertindih.
"Kita boleh bangunkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) ini bukan sebagai satu badan biasa tetapi bangunkan AIM sebagai satu badan gergasi supaya terkenal seantero dunia dalam menyelesaikan kemiskinan," katanya.
Anwar berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kenduri Rakyat AIM bersama Perdana Menteri di Kolej Universiti TATI (TATIUC) di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga AIM Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid.
Ujarnya rekod baik AIM dalam membantu orang miskin membolehkan kerajaan meletak kepercayaan dengan menyalurkan peruntukan RM100 juta kepada agensi itu supaya ramai golongan sasar menerima bantuan.
Anwar juga berkata pelbagai bantuan lain seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut menunjukkan usaha Kerajaan Perpaduan dalam membasmi kemiskinan tegar namun masih terdapat segelintir golongan yang tidak mengakui perkara itu.
"Semua orang boleh bercakap hendak membantu Melayu tetapi ujiannya adalah semasa kita berkuasa. Bila bercakap dalam kempen, apa yang kita dengar ialah Anwar dan Kerajaan Perpaduan tidak tolong Melayu, Islam. Saya sebutkan ini kerana ia berbeza (daripada apa yang diperkatakan).
"Apa yang kita buat? Contohnya harga (lantai) getah dahulunya RM2.50 sekilogram, tidak pernah naik dan bila kita ambil alih tahun lepas, dinaikkan kepada RM2.70 malah kini naik kepada RM3 sekilogram, begitu juga dengan hutang FELDA," katanya.
Justeru, Perdana Menteri menekankan kepentingan untuk negara terus berada dalam situasi aman, stabil dan kuat supaya lebih banyak program membantu rakyat boleh dilaksanakan.
.