RIYADH, 28 April- ASEAN adalah ekonomi yang paling pesat berkembang ketika ini.
Malah dengan sikap negara-negara Asia Tenggara yang lebih berpegang kepada dasar berkecuali serta memiliki persefahaman sub serantau, rantau ini diyakini menjadi lokasi ideal bagi potensi pelaburan serta kerjasama dua hala.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada sesi Dialog Strategi Serantau Bersama mengenai ASEAN - Majlis Kerjasama Teluk (GCC) berkata, selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mengalu-alukan penyertaan GCC dalam meneroka bidang lebih khusus yang memberi manfaat kepada kedua-dua blok.
Tambah beliau, menerusi Kerangka Kerjasama 2024-2028, ASEAN-GCC bakal membuka ruang hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala yang lebih besar.
Ini terutamanya menerusi jaringan eksport dan perkongsian kepakaran yang ada di syarikat kedua-dua pihak.
Perdana Menteri memberi jaminan dengan kesepaduan yang ada pada ASEAN, langkah GCC untuk meneroka peluang di rantau ini akan menjadi sebahagian strategi untuk memanfaatkan pertumbuhan mapan dan kukuh yang terhasil di Asia Tenggara.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kali kedua dijadual diadakan di Malaysia pada tahun hadapan.