fb fb fb fb fb

Kerja penyenggaraan LRA Sungai Selangor Fasa 1 dipinda ke tarikh baharu

LRA Sungai Selangor Fasa 1 / Foto Fail: BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Mei - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kerja-kerja penyenggaraan berjadual Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) akan dipinda ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

Notis makluman itu dikeluarkan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melalui platform media sosial baru-baru ini.

"Sebarang maklumat rasmi dan terkini berkenaan kerja-kerja penyenggaraan berjadual Air Selangor boleh didapati menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, laman web dan platform media sosial," kata notis berkenaan.

Terdahulu, sebuah portal berita tempatan melaporkan beberapa kawasan akan mengalami gangguan bekalan air yang dijadualkan berlaku pada 14 hingga 16 Mei ini.

Antara kawasan terlibat dikatakan jajahan Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Justeru, Air Selangor meminta pengguna mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI