BATANG KALI, 19 Julai- Kerja penstabilan cerun di Jalan Batang Kali-Genting Highlands berjalan mengikut ketetapan jadual dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun depan.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, ketika ini, kerja penstabilan cerun di Jalan Batang Kali-Genting Highlands mencapai 8% sejak ia dimulakan pada bulan lepas.
Mengulas lanjut, pihaknya akan meneliti laporan lengkap bagi melihat langkah susulan yang perlu diambil terutama melibatkan kawasan sekitar lokasi insiden tersebut.
"Selain daripada itu, kita juga akan teliti apa lagi langkah-langkah susulan terutama di kawasan ini. Kita masih bimbang, jika ada lagi faktor ketidakstabilan lain untuk kita lihat risikonya.
Ini selaras dengan usaha kerajaan negeri terutama di kawasan tinggi, untuk lihat risiko terutama kawasan tanah runtuh," kata Izham kepada pemberita selepas meninjau perkembangan kerja penstabilan cerun di kawasan berkenaan yang juga lokasi tragedi tanah runtuh, petang semalam.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari memaklumkan laluan di Jalan Batang Kali-Genting Highlands hanya akan dibuka untuk kenderaan ringan mulai awal Januari lalu bagi memudahkan urusan ulang-alik hampir 5,000 pekerja yang tinggal di Batang Kali, Hulu Selangor dan Genting Highlands, Pahang.
(Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Ir. Izham Hashim)